Banner created with MyBannerMaker.com

23 October 2012

BoLeHKaH MajLis aKaD NiKaH DiaDaKaN Di MasJiD?





Kebiasaannya kita melihat majlis upacara akad nikah diadakan di masjid dan dihadiri oleh para tetamu dan sanak saudara. Namun timbul pula persoalan, adakah boleh diadakan akad nikah di masjid. Hal ini kerana ada yang mengaitkan perbuatan itu seperti mengikuti adat agama yang lain. Majlis Fatwa juga telah mengeluarkan fatwa mengatakan perbuatan itu tidak salah.

Dalam persoalan ini terdapat sebuah riwayat yang bermaksud: “Umumkan (kepada khalayak) pernikahan ini dan jadikan (urusan akad) nya di masjid serta pukullah kompang.”

Berdasarkan riwayat ini, ada yang menganjurkan majlis akad nikah diadakan di dalam masjid. Namun ada juga yang tidak menganjurkannya kerana kekuatan riwayat ini diperbincangan di kalangan ahli hadis. Dalam erti kata lain, ini bukanlah riwayat yang sahih.

Oleh itu, melangsungkan majlis akad nikah di masjid atau di rumah adalah terserah kepada pilihan masing-masing. Boleh melaksanakannya di masjid kerana ia adalah tempat yang mudah dikenali oleh para hadirin, termasuklah oleh jurunikah dan para saksi. Dibimbangi jika dilangsungkan di rumah, jurunikah dan para saksi tidak menemui pula rumah tersebut sehingga tiba lewat dari masa yang dijanjikan.

Pun begitu, boleh juga dilaksanakan di rumah agar ia dapat dihadiri oleh semua pihak khususnya kaum wanita yang mungkin pada saat itu dalam keadaan uzur (sedang haid). Majlis akad nikah yang diadakan di rumah juga membolehkan rakan-rakan dari kalangan bukan Islam turut hadir dan menyaksikan cara kita (umat Islam) bernikah.

Justeru jika diperhatikan secara saksama, terdapat kelebihan dan kekurangan melaksanakan akad nikah di masjid atau di rumah. Ia terserah kepada pilihan masing-masing. Hanya, tidak boleh berkeyakinan bahawa melaksanakan akad nikah di masjid adalah lebih utama dan diberkati, kerana tidak ada dalil agama yang sahih untuk menyokong keyakinan ini. 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Upacara Akad Nikah Di Masjid. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
  • Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Jumhur ulama’ telah memperakukan bahawa upacara akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid. Bahkan ulama’ mazhab Syafie berpendapat adalah sunat dan digalakkan untuk melaksanakan akad nikah di masjid.
  • Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melakukan upacara akad nikah di masjid atau surau adalah disunatkan untuk mendapat keberkatan. Walaubagaimanapun, kedua-kedua pihak bagi pengantin lelaki dan perempuan yang turut menyertai upacara akad nikah tersebut hendaklah menjaga adab dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam masjid atau surau berkenaan.
Nota Kaki - Apa yang paling penting sekali, majlis akad nikah tersebut boleh dijalankan secara teratur dan lancar. Namun apa yang dikesalkan sekarang terdapat tetamu yang hadir melihat majlis akad nikah di masjid tidak menutup aurat dengan sempurna. Hal ini sungguh memalukan kerana seolah-olah tidak menghormati kesucian rumah Allah SWT. Semoga kita memandang tentang isu ini.

No comments: