Banner created with MyBannerMaker.com

10 October 2012

PerBaHaSaN TenTanG HuKuM MaS KaHwiN



Pada hari ini ramai keliru dengan perbezaan mas kahwin dan wang hantaran. Hantaran itu hanya adat dan tidak wajib jika tidak diberikan. Manakala mas kahwin atau mahar adalah sesuatu yang diberikan oleh suami kepada isteri yang bakal dinikahinya. Mas kahwin merupakan tanda kejujuran seorang suami dalam menikahi isterinya.
Allah berfirman: "Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan". [al-Nisa’ 4:04]
Dalam ayat ini Allah memerintahkan kepada para suami untuk memberi mas kahwin kepada wanita yang akan dinikahinya. Ini merupakan dalil bahawa memberikan mas kahwin hukumnya wajib ke atas suami. Dalam ayat ini juga Allah menyebut pemberian itu sebagai sesuatu yang dilakukan dengan kerelaan suami. Ini merupakan dalil bahawa kadar mas kahwin adalah mengikut kemampuan suami dan bukan atas permintaan mahupun status pihak isteri.
Sebaik-baik mas kahwin ialah apa yang memudahkan suami. Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya di antara kebaikan seorang wanita ialah mudah lamarannya, mudah mas kahwinnya dan mudah rahimnya (yakni mudah melahirkan anak)". [Musnad Ahmad, no: 24478 dengan sanad hasan]

Oleh itu di dalam hadis-hadis sahih kita dapati pada zaman Rasulullah, para sahabat yang tidak memiliki harta ada yang memberi mas kahwin dengan bacaan ayat al-Qur’an, memeluk Islam dan baju besi yang digunakan ketika perang. Sebaliknya bagi suami yang mampu dan mudah baginya, tidak ada nilai maksimum pemberian mas kahwin kepada isterinya. Hanya amatlah penting untuk menjaga hati agar tidak timbul perasaan ujub atau ingin meraih sebutan orang ramai.
Mas kahwin seluruhnya adalah untuk isteri. Wali atau sesiapa lain tidak boleh meminta mas kahwin tersebut, sama ada sedikit atau banyak. Atas dasar ini juga, isteri boleh – atas kerelaaannya sendiri – memberikan sebahagian dari mas kahwin tersebut kepada suaminya. Allah berfirman: "Kemudian jika mereka (isteri) menyerahkan kepada kamu sebahagian dari maskawin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai suatu) nikmat yang baik". [al-Nisa 4:04]
Dianjurkan menentukan nilai mas kahwin dan menyerahkannya sebelum melaksanakan akad nikah. Ini adalah cara yang terbaik sekalipun pada asalnya mas kahwin tersebut boleh tidak dinyatakan nilainya dan/atau ditangguhkan penyerahannya ketika akad nikah. Allah berfirman: "Tidak ada kewajiban membayar (mas kahwin) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan (nilai) mas kahwinnya". [al-Baqarah 2:236]
Mas kahwin menjadi hak isteri 100% setelah berlakunya persetubuhan di antara suami dan isteri. Allah berfirman: "Bagaimana kamu akan mengambilnya kembali (mas kahwin), padahal sebagian kamu telah bergaul (bersetubuh) dengan yang lain sebagai suami-isteri. Dan mereka (isterimu) telah mengambil daripada kamu perjanjian yang kuat". [al-Nisa’ 4:21] Mas kahwin juga menjadi hak isteri 100% jika suami meninggal dunia sebelum dia sempat bersetubuh dengan isterinya. Ini berdasarkan kesepakatan para sahabat dan ulama’.
Mas kahwin menjadi hak isteri 50% jika suami menceraikan isterinya sebelum berlaku persetubuhan di antara mereka berdua. Firman Allah: "Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu sudah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isterimu itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah, dan pemaafan kamu itu lebih dekat kepada takwa. Dan janganlah kamu melupakan keutamaan di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang kamu kerjakan". [al-Baqarah 2:237]
Jika tidak ada nilai mas kahwin yang ditentukan sebelum akad nikah, lalu suami menceraikan isterinya selepas akad nikah dan sebelum persetubuhan, maka hendaklah suami memberikan hadiah kepada isterinya itu. Hadiah ini disebut sebagai mut’ah dan ia diberi mengikut kesanggupan suami:
"Tidak ada kewajiban membayar (mas kahwin) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bersetubuh dengan mereka dan sebelum kamu menentukan mas kahwinnya. Dan hendaklah kamu berikan suatu mut’ah (pemberian) kepada mereka. Orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), yaitu pemberian menurut yang patut. Yang demikian itu merupakan ketentuan bagi orang-orang yang berbuat kebajikan". [al-Baqarah 2:236]
Mas kahwin dikembalikan sepenuhnya kepada suami (isteri mendapat 0%) jika berlaku penceraian disebabkan oleh isteri sementara persetubuhan belum berlaku. Misalnya, suami menceraikan isteri kerana terdapat aib besar pada isteri yang disembunyikan daripada pengetahuan suami sebelum pernikahan.
Mas kahwin juga dikembalikan sepenuhnya kepada suami dalam kes khulu’, iaitu penceraian yang terjadi di antara suami-isteri dengan kerelaan mereka, dengan isteri menyerahkan kembali mas kahwinnya sebagai satu bentuk tebusan. Firman Allah: "Jika kamu khawatir bahwa keduanya (suami-isteri) tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya". [al-Baqarah 2:229]
Demikianlah secara ringkas hukum-hakam berkenaan mas kahwin di dalam Islam.

Nota Kaki - Semoga artikel ini dapat memberikan kita pencerahan tentang perbahasan mas kahwin ini. Mas kahwin secara jelas dan nyata merupakan pemberian ikhlas yang diberikan kepada isteri sebagai tanda kejujuran seorang suami menikahi dirinya. Semoga kita dipermudahkan urusan oleh Nya.

No comments: