Cerita ini kononnya berkisah tentang sepasang kekasih, si teruna menjemput si gadis di rumahnya untuk satu temu janji pertama. Cerita ini hanya sekadar tauladan dan panduan untuk di kongsi bersama. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Semoga bermanfaat untuk bersama, insyaallah.
Setibanya si teruna di hadapan rumah si gadis…
Teruna : Assalammualaikum..
Gadis : Waalaikummussalam..Masuklah dulu, jumpa dengan ayah saya.
Teruna : Boleh saya masuk?
Gadis : Masuklah, saya nak bersiap sekejap.
Melangkah masuk si teruna melalui pintu utama. Pintu yang sedia terbuka mengalukan-alukan kedatangan si teruna.
Teruna : Assalammualaikum..
Bapa Gadis : Waalaikummussalam..
Melihat pada lantangnya suara bapa si gadis, terus si teruna kaku membatu. Lantas si gadis seraya menarik tangan si teruna dan menyedarkannya dari lamunan itu.
Gadis : Mari, duduk di kerusi.
Teruna : Erm..(terkedu dengan tindakan si gadis di hadapan bapanya.)
Setelah tangan dihulur dan salam bertaut, duduklah si teruna di kerusi hampir menghadap bapa si gadis. Hanya surat khabar yang menjadi tabir antara mereka berdua.
Bapa Gadis : Nak jalan kemana hari ni?
Teruna : Ke bandar je pak cik, dia nak cari barang sikit katanya. Tapi barang apa tak tahulah saya.
Bapa Gadis : Oh..
Teruna : ??
Hampir 5 minit senyap tanpa suara. Dan ibu si gadis keluar dari tabir ruang utama dari ruang belakang membawa sedulang air beserta sedikit biskut kering. Si teruna tersenyum kelat.
Ibu Gadis : Minumlah air ni sikit. Kamu sudah sarapan?
Teruna : Ehh. Sudah mak cik. Terima kasih.
Ibu Gadis : Kamu ni malu-malu pula dengan kami.
Teruna : Oh. (sambil tersenyum)
Bapa Gadis : Bila kamu nak hantar rombongan?
Ibu Gadis : Eh. Apa ayahnya ni?
Teruna : Erm. Masih mengumpul duit pak cik, mak cik.
Bapa Gadis : Kamu bawa anak kami kehulu-kehilir. Apa orang kata nanti?
Teruna : (dalam hati berkata, malu dengan orang ke malu dengan Allah, lagi takut orang kata dari Allah yang menghukum) Kami naik kereta je pak cik, tak lah nampak berkepit sangat. Boleh saya tanya pak cik sikit?
Bapa Gadis : Boleh, tak ada masalah.
Teruna : Pak cik dengan mak cik nak letak wang hantaran berapa ye?
Bapa Gadis : Kalau boleh 20 ribu.
Ibu Gadis : Ehh. Tak kisah lah, tapi kalau boleh makcik nak lebih tinggi sikit.
Teruna : Berapa tu mak cik?
Ibu Gadis : Dalam 25 ribu ke atas dan 25 dulang ke atas dari pihak lelaki.
Teruna : (Amboi, banyak nya dulang? Hurm..25 ribu. Mana nak dapat? Aduh.) Tingginya mak cik, tak boleh rendah lagi ke?
Bapa Gadis : Itu nasib kamu la, kamu yang nakkan anak kami. Lagipun dialah satu-satunya anak perempuan kami, kenalah tinggi sikit. Barulah besar dan meriah nanti. Lagipun sekarang barang kan mahal.
Si teruna hampir hilang akal apabila disebutkan tentang wang hantaran si gadis itu. Dan si teruna cuba berbincang untuk merendahkan wang hantaran si gadis.
Teruna : Erm.. Boleh saya tanya, kenapa anak pak cik tak pakai tudung?
Bapa Gadis : Itu kenalah tanya dengan mak nya.
Teruna : (Ehh. Bukankah itu tanggungjawab seorang bapa)
Ibu Gadis : Ehh. Awak lah. Apa pulak saya. Awak yang sepatutnya didik anak awak tu.
Bapa Gadis : Saya kan kerja. Mana ada masa
Teruna : (Pulak dah, gaduh jugak nanti) Mak cik, pak cik. Kita lupakan dulu soalan saya tadi, sebab dari apa yang saya lihat, mak cik pun tak bertudung. Boleh saya tanya lagi, anak pak cik pandai masak tak?
Bapa Gadis : Hmm..Tak tahulah. Selalunya bangun tido pukul 12 lebih, terus makan tengahari apa yang mak nya masak.
Ibu Gadis : Apalah ayahnya, orang nak buat anak kita bini, tapi dia cerita buruk-buruk pulak.
Bapa Gadis : Mak nya pun sama jugak, suka bangun lambat.
Ibu Gadis : Ayahnya!
Teruna : (itu pun nak cerita smbil tersenyum) Mak cik, boleh tak dia baca al-quran?
Ibu Gadis : Boleh sikit-sikit agaknya. Dulu dah khatam quran.
Teruna : Bila kali terakhir?
Ibu Gadis : Erm. Darjah 6 agaknya.
Teruna : Hmm. (sambil mengangguk)
Ibu Gadis : Kenapa?
Teruna : Tak ada apa mak cik. Dia solat tak mak cik?
Bapa Gadis : (berdengus dengan keras) Apa motif kamu tanya semua ni? Dia kan selalu ikut kamu. Kamu mesti tahu.
Teruna : Kalau di luar, bila saya ajak dia solat, dia akan cakap datang bulan dan setiap kali datang bulan. Dia tau solat atau tak pak cik, mak cik?
Hampir terkedu si bapa dan si ibu gadis. Dan pada raut wajah mereka berdua terdapat tanda-tanda kemerah-merahan menahan malu dan amarah.
Teruna : Boleh saya cakap sesuatu. Saya minta maaf pada pak cik dan mak cik terlebih dahulu. Tapi dia tak tahu memasak, tak tahu cara bersolat, tak pandai membaca al-quran, tak mahu tutup aurat sebelum dia menjadi isteri saya lagi. Dosa-dosanya terang-terang jatuh pada mak cik dan pak cik.
Berbaloikah mahar dan wang hantaran ribuan ringgit untuk dia? Tetapi, jika dia seorang ‘hafizah’ al-quran, bertutup auratnya tanpa terdedah dan tahu menjaga batas sebagai seorang wanita muslimah, maka berbaloilah ribuan ringgit mahar dan wang hantaran untuknya. Malah saya sanggup berusaha keras untuk mendapatkannya. Tetapi, wanita yang sedemikian jika mereka ingin berkahwin, mereka memilih untuk serendah-rendah mahar. Sebab sebaik-baik perkahwinan adalah serendah-rendah mahar yang di minta dan di beri oleh pihak lelaki.
Mata bapa si gadis direnung tajam oleh mata ibu si gadis. Keduanya senyap tanpa suara. Mereka menundukkan kepala setelah mendengar kata si teruna. Lumrah adat untuk menjadikan anak perempuan sebagai objek pemuas nafsu hati menunjukkan kekayaan serta bermegah-megah dengan apa yang ada. Terutamanya pada majlis perkahwinan. Adat mengatasi agama. Dibiarkan anak perempuan dihias dan dibuat pertunjukkan di khalayak ramai. Sedangkan pada waktu itu akad telah dilafaz oleh si suami, dan segala dosa anak perempuan sudah mula ditanggung oleh si suami. Amatlah rugi. Pahala yang boleh di dapati dengan berkahwin mudah saja di cemari. Mahar berpuluh ribu dibayar pada isteri dan sepatutnya hanya si suami seorang sahaja yang berhak melihat. Tetapi pada hari pertama perkahwinan iaitu semasa persandingan sahaja beratus mata yang memandang si isteri. Seolah-olah si suami membayar mahar untuk kesemua mereka sekali.
Bapa Gadis : Tapi, pak cik nak anak pak cik merasa sekali peperti itu seumur hidup.
Teruna : Pak cik nak anak pak cik merasa ke atau pak cik?
Ibu Gadis : Tentulah kami berdua pun turut sama gembira.
Teruna : Pak cik, mak cik, saya bukan apa. Sekarang dosa-dosa anak pak cik, pak cik yang tanggung. Esok lusa selepas akad nikah, terus dosa dia saya yang akan tanggung. Pakcik nak buat majlis bersanding, setiap mata yang memandang dia, saya yang akan mendapat dosa. Lakukan kemungkaran di khalayak ramai, betapa besarnya dosa saya pak cik, mak cik .
Ibu si gadis segera mengambil langkah mudah dengan menarik diri daripada perbualan itu. Si ibu tahu, si teruna bercakap menggunakan fakta islam. Dan tidak mungkin ibu si gadis dapat melawan kata si teruna itu. Dengan lemah dia melangkah ke dapur. Di dapur, si ibu gadis mendapati si gadis berjujurain airmata. Segala perbualan telah terdengar oleh nya dari mula.
Bapa Gadis : Kau pulak yang memandai nak cakap bab agama dengan kami.
Teruna : Maafkan saya pak cik. Bukan saya nak memandai cakap pasal agama. Tapi itulah hakikat yang sebenar. Kita terlalu pandang pada adat sampai lupa pada agama.
Bapa Gadis : Macam ni lah. Kalau kamu betul hendak berkahwin dengan dia, kamu sediakan 25 ribu dengan 31 dulang. Kalau tak ada, kamu tak boleh bekahwin dengan anak aku! (dengan nada marah)
Teruna : Jika begitu, lambat lagilah. Dalam umur saya 30 lebih, baru saya dapat masuk meminang. Baiklah, kalau macam tu, pak cik ‘izinkan saya berzina dengan anak pakcik’.
Bapa Gadis : (bapa si gadis menyeringai) Hoi! Kau ni dah melampau, kau baik-baik sikit cakap tu. Jangan main sedap mulut je.
Teruna : Dengar dulu penjelasan saya pak cik. Pak cik tau tak apa sebab orang berzina dan banyak anak dilahirkan luar nikah? Sebab semua nya kerana hal macam ni lah pak cik. Selalunya ibu bapa pihak perempuan yang meletakkan mahar dan wang hantaran berpuluh ribu ringgit sampaikan pihak lelaki terpaksa menangguh hasrat untuk berkahwin. Tetapi cinta dan nafsu, jika tidak diiringkan dengan betul, syaitan yang akan jadi pihak ketiga untuk menyesatkan manusia. Akhirnya mereka mengambil jalan pintas memuaskan nafsu serakah dengan berzina.
Bapa Gadis : Apa kaitan kamu nak berzina pula?
Teruna : Sekarang, pak cik tak benarkan saya berkahwin dengan anak pak cik sebelum saya dapat penuhi permintaan pak cik. Tiap-tiap hari saya tengok dia, dia tengok saya dan masing-masing mempunyai nafsu. Tapi di sebabkan dia belum halal bagi saya, mugkin saya dan dia akan berzina. Sebab itu saya dengan rendah hati minta izin pada pak cik untuk berzina dengan anak pak cik. Apa yang penting pak cik tahu yang saya dan dia akan berzina. Kerana rata-rata orang yang berzina, kedua ibu bapa tidak tahu.
Bapa Gadis : Hmm.. Kamu ni peliklah. Kalau ikutkan hati, dah lama pak cik angkat parang halau kamu dari sini. Tapi kalau kamu tak ada duit, macam mana kamu nak bagi dia makan?
Teruna : Pak cik. Pak cik lupakah dengan apa yang telah Allah bari tahu?
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” (an Nur 32).
Takkan kita tak yakin dengan apa yang telah Allah janjikan. Lagipun pak cik, kalau makan dan minum tu insyaAllah, masih berdaya lagi untuk saya berikan pada dia. Tempat tinggal, pakaian kita masih boleh berbincang lagi. Jika semua ini boleh menghalang kami dari melakukan perkara yang berdosa dan sia-sia. Baiklah di teruskan.
Senyap tanpa kata bapa si gadis, merenung dalam-dalam kata-kata si teruna. Segera bapa si gadis memikirkan cara untuk mematahkan kata-kata si teruna.
Bapa Gadis : Kamu tahulah zaman sekarang ni, masih adakah yang mengikutkan cara kamu tu? Mungkin kamu tak suka dengan persandingan, pak cik boleh terima. Tapi kamu kenalah ambil kira apa orang lain yang akan kata. Orang akan mengata dan cakap yang bukan-bukan, anak aku kena tangkap basah dan kena nikah paksa dengan kamu nanti. Mana aku nak letak muka ni?
Teruna : Betul tu pakcik. Tapi pak cik, saya tak kata pun tak ada walimatul urus. Sedangkan walimatul urus itu perlu untuk menhebahkan yang anak pak cik dah kahwin dan mengikut cara islam. Yang tak eloknya, bersanding . Saya bayar mahar untuk anak pak cik, orang lain pun turut serta dapat tengok. Kalau berhias secara berlebihan dan orang lain yang lihat dapat menaikkan nafsu syahwat mereka, saya yang berdosa. Saya yang akan tanggung dosa dia. insyaAllah, kita bukan nak buat apa, sebab syariat islam memang macam tu. Maha baiknya Allah sebab jaga kita selama ini, tapi benda remeh-temeh macam ni pun kita masih pandang ringan dan kita tak menjaga apa yang telah Allah janjikan. Maaflah kalau ada kata saya yang membuat pakcik kurang senang dengan saya. Segala-galanya kita serah pada Allah, kita hanya merancang.
Azan zohor berkumandang, jaraknya tidak sampai 10 buah rumah dari surau berdekatan rumah si gadis. Si teruna memohon untuk ke surau dan mengajak bapa si gadis untuk pergi bersama. Namun ajakan si teruna ditolak dengan lembut. Lantas si teruna memberi salam dan memohon untuk keluar. Di birai tingkap bapa si gadis melihat si teruna mengeluarkan kopiah dari poketnya dan segera di pakainya. Masuk ke dalam kereta dan hilang dari penglihatan bapa si gadis tadi. Sedang si gadis yang sedari tadi berdiri di balik tirai bersama ibunya menitiskan air mata mendengar luahan kata-kata si teruna terhadap ayahnya. Tudung pemberian si teruna sebagai hadiah pada hari jadinya yang lepas digenggam erat. Ibu si gadis juga menitiskan air mata melihat pada kelakuan anaknya. Segera ibu dan si gadis ke ruang tamu menghadap ayahnya.
Ibu Gadis : Apa yang budak tu kata betul. Kita ni tak beratkan pada agama selama ni. Kita sambil lewa ayahnya.
Bapa Gadis : Hmm. Ntahlah, tak tahulah saya. Keras betul apa yang budak tu kata tadi. Satu-satu di kilasnya. Dia pesan tadi, suruh kamu bersiap, selepas zohor dia datang ambil kamu.
Gadis : Tak ada mood nak keluar lah ayah. Ntahlah. Hmm.
Si gadis terus mencapai telefon bimbitnya dan menaip mesej.
Si teruna yang selesai solat berjemaah tersenyum apabila membaca mesej yang baru sahaja diterima daripada si gadis.
“Andai Allah telah memilih dirimu untukku, aku redha dan akan terus bersamamu, aku juga akan terus pada agama yang ada padamu.” “ : )”
“Petang ni tak ada mood nak keluar, sorry. Dan minggu depan ayah suruh hantar rombongan.”
No comments:
Post a Comment